Monday, 20 March 2017

Pengenalan Perakaunan

Teks: Hazwani Abd Hamid

Bismillah.. Assalammualaikum..

Untuk permulaan, mari kita lihat apakah itu PERAKAUNAN, mengapa ianya penting dan apa kegunaan rekod perakaunan untuk sesebuah syarikat atau perniagaan. Perakaunan adalah rekod transaksi urusniaga harian syarikat untuk sesuatu tempoh. Laporan kewangan yang lengkap terdiri daripada Penyata Untung Rugi, Kunci Kira-Kira, Imbagan Duga, Penyata Penyesuaian Bank dan lejer.

Di Malaysia, rekod perakaunan yang telah lengkap direkod perlu di Audit oleh badan Juruaudit luar yang berdaftar dengan Malaysia Institute of Accountant (MIA). Ianya bagi memastikan rekod kewangan tersebut direkod dengan tepat dan dijalankan dengan berhemah serta mengikuti Standard Perakaunan Malaysia.

              Selain itu, rekod perakaunan ini juga akan digunakan bagi tujuan pengiraan cukai setiap tahun semasa. Pendapatan atau keuntungan syarikat perlu diisytiharkan setiap tahun ke Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) dan dokumen-dokumen sokongan wajib disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun dari tarikh transaksi. Kegagalan dalam menyimpan dokumen yang berkaitan membolehkan pemilik dikenakan penalti dan penjara jika berkenaan.

“Semua perniagaan yang berdaftar dengan SSM,
perlu isytihar pendapatan dengan LHDN setiap tahun”
             
              Rekod perakaunan tidak hanya tertakluk untuk kegunaan Audit dan LHDN tetapi juga untuk kegunaan pihak pengurusan syarikat. Antara fungsi atau kegunaan laporan akaun adalah untuk memudahkan syarikat menjangka pulangan atau kerugiaan untuk tahun semasa. Jika akan wujudnya keuntungan maka syarikat perlu mengemukakan borang CP204 bagi anggaran cukai tahun semasa.

              Kesilapan dalam nilai anggaran, syarikat mungkin akan dikenakan penalti yang ditetapkan oleh LHDN. Laporan akaun yang dikemaskini juga memberi kelebihan kepada syarikat untuk memohon mana-mana pinjaman dari institusi kewangan yang berdaftar atau mungkin juga bagi tujuan mendapatkan geran dan kontrak-kontrak kerajaan.

              Dengan adanya laporan akaun yang tepat juga membolehkan syarikat mengesan perkara-perkara yang tidak diingini seperti salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah. Tanggungjawab peniaga untuk mengetahui apa yang berlaku supaya diri anda tidak terjerat oleh laporan anda sendiri.

              Pihak berwajib seperti LHDN, Kastam atau SKMM mempunyai pegawai-pegawai yang berpengalaman mengikut jenis industri perniagaan. Mereka tahu segala selok-belok dalam bidang-bidang tertentu. Contohnya; Seorang doktor yang menerima bayaran perkhidmatan yang terus masuk ke akaun peribadi tetapi tidak dilaporkan pada tahun semasa. Mereka tahu pendapatan tertentu yang tidak masuk secara langsung ke akau klinik. Dari situ, pemilik tidak boleh mengelak lagi malah perlu membayar cukai tertunggak secara lump sum.


              Biarpun akaun ini membosankan dan mengelirukan, jika anda mahu “kaya” dan “berjaya” dalam jangka panjang, subjek AKAUN perlu jadi subjek penting anda. Jabatan Akaun perlu jadi jabatan eksklusif anda. Pilih personnel yang betul-betul berkaliber untuk masuk ke syarikat anda. Salah pilih syarikat anda mungkin akan bermasalah satu hari nanti. 

Penting ke tidak perakaunan ini? Tepuk dada, tanya diri :)

Semoga bermanfaat!


No comments:

Post a Comment